Individu atau pihak yang terlibat dengan penyalahgunaan bintang dan darjah kebesaran Sultan Selangor bakal berhadapan denda yang lebih tinggi antara RM100,000 hingga RM200,000 atau dipenjara jika didapati bersalah berbuat demikian.

Ini berikutan tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat yang meluluskan pindaan Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) 1962 bagi menangani perbuatan dan pemakaian darjah kebesaran tanpa pengiktirafan Sultan Selangor.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata usul pindaan itu dibuat berikutan enakmen sebelum ini hanya mengenakan denda RM1,000 yang disifatkan sangat rendah terhadap individu dan pihak yang menyalahgunakan bintang dan darjah kebesaran Sultan Selangor.

Beliau berkata hukuman yang patut dikenakan di bawah enakmen pindaan itu ialah denda antara RM100,000 hingga RM200,00 atau hukuman penjara tiga tahun sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah.

"Berasaskan kepada maklumat yang boleh dipercayai kebanyakan bintang dan darjah yang diperolehi secara tidak sah mempunyai nilai yang amat tinggi sehingga boleh mencecah ke ratusan ribu ringgit.

"Oleh yang demikian denda antara RM100,000 hingga RM200,000 adalah dianggap sebagai patut dan seharusnya dianggap jumlah denda yang boleh mencegah daripada kesalahan penggunaan bintang dan darjah kebesaran tidak diiktiraf," katanya ketika bacaan usul itu di sidang DUN, di sini hari ini.

Isnin lepas, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam istiadat pembukaan persidangan penggal keempat Sidang DUN Selangor ke-13 menitahkan kerajaan negeri untuk membuat pindaan terhadap enakmen berkenaan.

Ia berikutan terdapatnya kegiatan membeli dan menjualnya oleh pihak tidak bertanggungjawab, baik dari Istana mahupun kerajaan negeri Selangor yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Sidang dewan bersambung Isnin ini.