JAKARTA: Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin berhasrat untuk memupuk kerjasama berterusan dengan Indonesia merentasi pelbagai sektor, khususnya pelancongan, pendidikan, perdagangan, pelaburan dan kesalinghubungan.

Beliau turut menekankan komitmen untuk mengatur lawatan peringkat tinggi, terutamanya selepas pertukaran beberapa jawatan menteri di Malaysia, dengan pertimbangan teliti jadual rakan sejawat.

Beberapa siri lawatan sedang dirancang beliau untuk ke Kalimantan Timur, Sulawesi Selatan, Makasar, dan Surabaya, setelah melawat Jawa Barat, Medan, Pontianak dan Pekanbaru tahun lepas, katanya dalam temubual.

Syed Md Hasrin yang memulakan tugas pada Jun lepas juga berusaha mengaktifkan slot-slot penerbangan yang telah dipersetujui tetapi terjejas akibat COVID-19, serta meneroka laluan baharu kerana kesalinghubungan adalah antara keutamaannya.

"Kesalinghubungan ini termasuk darat dan udara telah meningkat daripada kira-kira 70 peratus semasa saya datang kepada hampir 90 peratus sekarang," jelas beliau yang memulakan tugas pada Jun tahun lepas.

Syed Md Hasrin berkata pengenalan laluan penerbangan baharu seperti Kuching-Jakarta-Kuching dan Kuala Lumpur-Kertajati (Jawa Barat)-Kuala Lumpur tahun lepas telah menyumbang kepada peningkatan ini.

Hubungan dua hala juga kukuh pada 2023, terlihat daripada segi bilangan lawatan pemimpin peringkat tinggi, pelaksanaan mesyuarat tahunan Jawatankuasa Am Sempadan dan pertumbuhan sektor perdagangan.

Di sektor pelancongan, terdapat lebih 2 juta pelancong Indonesia mengunjungi Malaysia pada 2023, melebihi 1.4 juta yang direkodkan pada 2022 dan 1.2 juta pelancong Malaysia ke Indonesia pada 2021.

"Kami juga telah menyambut lawatan daripada pelajar dan pihak universiti yang mencari maklumat tentang Malaysia," kata Syed Md Hasrin.

Sementara Indonesia bersiap sedia untuk pemilihan presiden dan anggota legislatif pada 14 Feb, beliau berharap agar pilihan raya berjalan baik demi memastikan peralihan kepimpinan yang lancar untuk meneruskan program kerjasama.

"Penguatan hubungan dua hala, seiring dengan peningkatan kerjasama ekonomi yang lebih mantap, akan terus diperluas untuk meningkatkan hubungan keseluruhan antara Malaysia dan Indonesia," katanya.


KERJASAMA PERINGKAT GLOBAL DAN RUNDINGAN SEMPADAN

Syed Hasrin mengetengahkan kerjasama positif kedua-dua negara melalui Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit bagi mengatasi cabaran yang ditimbulkan oleh Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah serta kesan negatifnya kepada industri.

"Inisiatif dua hala ini merupakan contoh yang meyakinkan mengenai kerjasama global antara Malaysia dan Indonesia serta akan menjadi landasan untuk kita mencari lagi ruang-ruang kerjasama demi manfaat kedua negara," katanya.

Mengenai sasaran Indonesia untuk menyelesaikan tiga segmen masalah sempadan dengan Malaysia tahun ini, Syed Md Hasrin berkata "ia adalah komitmen peringkat tertinggi kedua-dua pemimpin negara" semasa pertemuan di Putrajaya tahun lepas.

Tiga segmen sempadan darat itu melibatkan wilayah Kalimantan-Sabah - Pulau Sebatik, Sinapad-Sesai dan West Pillar-AA 2.

Beliau berkata banyak lagi tuntutan bertindih kawasan sempadan darat mahupun maritim termasuk Ambalat atau Laut Sulawesi belum selesai, bagaimanapun perkara itu tidak menghambat pengukuhan kerjasama dua hala.

Penyelesaian sempadan maritim lebih kompleks kerana secara teknikal Malaysia merupakan negara pesisir dan Indonesia sebagai negara kepulauan.


PROMOSI KEBUDAYAAN DAN BAHASA

Syed Hasrin menyatakan pelestarian tarian tradisional Barongan di Johor dan Selangor, Malaysia dan dikenali sebagai Reog di Jawa Timur, perlu dilihat sebagai usaha mempromosi kebudayaan.

"Budaya tidak mengikut sempadan, ia merentasi sempadan, seperti masyarakat Jawa di Malaysia dan yang penting kita mempromosikan kesenian itu bersama-sama.

"Jika diperhatikan masyarakat Cina juga mempromosikan Tarian Singa di Malaysia, dan tiada siapa yang mempertikaikan kerana ia adalah sebahagian daripada peradaban mereka," jelasnya.

Pada April 2022, kedutaan mengeluarkan kenyataan Malaysia tidak sama sekali bercadang mendaftarkan kesenian Reog sebagai satu daripada warisan budaya ke UNESCO.

Bahasa Indonesia menjadi antara bahasa rasmi persidangan UNESCO, beliau berkata rakyat Malaysia perlu faham bahasa itu sudah berbeza walaupun mempunyai banyak persamaan.

"Tetapi sekarang, Bahasa Indonesia adalah Bahasa Indonesia. Menurut Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan, dan Teknologi Indonesia, Bahasa Melayu merupakan bahasa daerah di Indonesia.

"Rakyat Malaysia perlu terima, sebagaimana rakyat Indonesia perlu faham bahawa masyarakat Jawa di Malaysia juga mahu melestarikan 'Barongan'," jelasnya.

Syed Hasrin pernah manjawat Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dari 2010 hingga 2014.

-- BERNAMA