TAWAU: Sambutan Hari Paskah atau Easter di Tawau, Sabah diraikan oleh penganut agama Kristian dengan meriah dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Ia selepas dua tahun sambutan itu tidak dapat diadakan di gereja susulan penularan pandemik COVID-19 sejak Mac 2020.

Rektor Gereja Saint Patrick Tawau, Bishop John Yeo berkata, jemaah gereja sangat gembira kerana Hari Paskah kembali dapat diadakan di gereja meskipun masih mengamalkan SOP.

Menurutnya, di sebalik kelonggaran SOP oleh kerajaan, namun pihak pengurusan gereja masih mengamalkan penjarakan sosial satu meter antara kerusi dengan menyediakan dua unit bangunan ibadah untuk menampung kira kira 2,000 jemaah.

"Mereka datang satu jam lebih awal kerana semua protokol SOP harus dilakukan dahulu sebelum mereka diizinkan masuk ke gereja.

"Semua anggota juga sangat bersukacita dan ramai yang datang kembali ke gereja untuk bersembahyang bersama dan kehadiran hari ini seramai 2,000 lebih. Kalau sebelum pandemik apabila kami buka dua bangunan sembahyang boleh menampung 3,500 hingga 4,000 jemaah," katanya.

Sementara itu, kalangan jemaah gereja yang ditemui gembira kerana dapat meraikan perayaan Paskah di gereja.

"Sangat menyentuh perasaan apabila semua boleh datang ke gereja bersama dan gereja mengawal kapasiti kerusi sudah tentu mematuhi SOP satu meter.

"Perayaan ini sangat penting bagi kami umat Kristian datang ke gereja untuk mengikuti sembahyang supaya kami berkongsi kasih bersama keluarga kami dan bersembahyang bersama dalam gereja," kata pelajar IPTA, Azarel Samamadin.

Bagi peniaga Emy Tandi, segala SOP tetap dipatuhi jemaah termasuk mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum memasuki kawasan gereja serta pemakaian pelitup muka.

"Kami rasa gembira senang hati dapat menyambut perayaan ini bersama jemaah dan keluarga.

"Kami terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan iaitu sebelum kami masuk gereja kami mengimbas MySejahtera dan sentiasa pakai pelitup muka," katanya.

Untuk rekod, walaupun dua unit bangunan gereja tersebut mampu menampung sehingga 4,000 jemaah dalam satu satu masa, namun gereja berkenaan hanya menerima 2,500 kehadiran untuk mengekalkan penjarakan sosial.