JOHOR BAHRU: Pasaraya Econsave Cash and Carry (Econsave) telah menyumbang 30 tan tepung ke Gaza bagi menampung keperluan penduduk.

Pengurus Besarnya Mas Imran Adam berkata sumbangan bernilai RM90,000 termasuk kos pengangkutan itu kini berada di Rafah sebelum dibawa masuk ke kawasan yang masih berdepan serangan Israel.

Beliau berkata pihaknya berharap proses kemasukan bantuan tepung berkenaan akan dapat diselesaikan segera, selewat-lewatnya pada hujung minggu ini.

"Bantuan itu dianggarkan memanfaatkan kira-kira 18,000 penduduk di Gaza yang kini berdepan dengan kekurangan bekalan makanan.

"Kita (Econsave) memilih tepung kerana ia merupakan makanan ruji penduduk di Gaza, selain dapat bertahan lama dan bahan makanan berkenaan agak mudah untuk disediakan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mas Imran berkata pihaknya terus komited menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza dan ia merupakan satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Econsave.

Beliau berkata selain membantu golongan memerlukan sama ada di dalam dan luar negara, pihak Econsave turut merancang mengadakan beberapa lagi aktiviti CSR pada masa akan datang.

"Selain bantuan di Gaza, pihak kami juga telah melaksanakan beberapa bantuan untuk masyarakat antarabangsa termasuk Indonesia, Syria dan lain-lain," katanya.

-- BERNAMA