KUALA LUMPUR: Selangor berharap agar kerajaan Persekutuan dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dapat menghormati keputusan kerajaan negeri dalam isu jajaran East Coast Rail Link (ECRL) demi kebaikan bersama.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, kerajaan negeri juga bersedia pada bila-bila masa untuk bekerjasama dalam mempercepatkan pembinaan ECRL melalui Jajaran Selatan Selangor.

Katanya, kerajaan negeri sejak tahun 2019 lagi berpendirian Jajaran Selatan Selangor (Hulu Langat-Sepang-Westport) adalah pilihan terbaik untuk laluan ECRL di negeri itu berbanding Jajaran Utara Selangor (Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang) atas alasan kukuh dan objektif.

"Ini kerana Jajaran Selatan adalah RM5.4 bilion lebih murah daripada Jajaran Utara dan juga akan membuka lebih banyak kawasan ekonomi baharu di bahagian Selatan.

"Malah jajaran berkenaan mampu menyokong pembangunan pesat Pelabuhan Barat, satu langkah yang sangat penting untuk negara serta kawasan sekitar," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BACA: ECRL: Kerajaan negeri Selangor tetap dengan pendirian pilih Jajaran Selatan

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada Selasa, bahawa pertimbangan ekonomi dan teknikal sebagai asas dalam penentuan projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Izham berkata, selain itu cadangan berkenaan juga dibuat untuk mengelakkan gangguan kepada kawasan tadahan air di sekitar Lembangan Sungai Selangor yang menjadi sumber 60 peratus bekalan air minuman untuk Selangor dan Kuala Lumpur.

Isu pengambilan tanah dan perpindahan penduduk juga menjadi kriteria penting dan untuk itu, Jajaran Selatan memberi pilihan yang lebih baik, katanya.