KUALA LUMPUR: The Edge Malaysia ESG Awards 2023 iktiraf 48 syarikat disenarai awam (PLC) dan firma pengurusan aset yang menitikberatkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di Malaysia.

Sebanyak 63 anugerah disampaikan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad semasa majlis makan malam gala yang dihadiri lebih 380 orang di Hilton Kuala Lumpur.

Pemenang terbesar acara itu merupakan Press Metal Aluminium Holdings Bhd, yang berjaya meraih dua anugerah emas dalam kategori ekuiti untuk produk dan perkhidmatan perindustrian dan anugerah peralihan hijau.

Menurut Pengurus Kelestarian Press Metal Aluminium Lim Tan Leong, anugerah yang diraih menunjukkan komitmen berterusan syarikatnya menyokong segala usaha ESG demi kelestarian semua.

“Untuk pelan masa depan, kami akan menumpukan lebih pada ekonomi sekular selain meningkatkan kecekapan operasi dan bekerja lebih kuat ke arah inisiatif yang digariskan ESG,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Manakala BIMB Investment Management Bhd berjaya meraih tiga anugerah emas dan tiga perak, menjadikannya sebagai pemenang terbesar dalam kategori pengurusan aset.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azdini Nor Azman, anuugerah yang diraih menunjukkan usahanya selama bertahun lamanya memperkasa ESG terbalas dan mereka akan melancarkan lebih banyak inisiatif lain.

“Fokus kami di BIMB sememangnya berteraskan ESG dan ia bukan sekadar tema tetapi ia adalah norma baharu yang perlu dipraktikkan.

“Semoga teman-teman lain dalam bidang yang sama akan terus menerajui ESG , esg bukan sekadar tema seketika dan ia meruapakan norma baharu yang perlu dipraktikkan rakan seperjuangan lain dalam bidang yang sama,” tambahnya lagi.

Penganjuran anugerah tahun ini menyaksikan peningkatan 356 PLC telah dinilai oleh FTSE Russell dan layak dipertimbangkan untuk anugerah di bawah kategori ekuiti, berbanding 296 tahun lepas.

Di bawah kategori dana pula, bilangan dana yang ditetapkan sebagai dana pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab di Malaysia meningkat daripada 52 tahun lepas kepada 69.

Sementara itu, dua anugerah baharu telah ditambah dalam kategori ekuiti untuk mengiktiraf PLC yang bukan sahaja menunjukkan prestasi yang baik dalam ESG tetapi juga memberikan dividen yang konsisten kepada pemegang saham.