KUALA LUMPUR: Ekonomi digital Malaysia dijangka berkembang melepasi sasaran awal sebanyak 25 peratus kepada Keluaran Negara Dalam Kasar (KDNK) menjelang 2025, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketika berucap merasmikan Malaysia Digital (MD) hari ini, Perdana Menteri berkata, sektor ekonomi digital telah pun mencapai 22.6 peratus pada 2021.

Menurut beliau, pencapaian itu adalah susulan kejayaan Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia) yang berjaya mentrasformasi dan mempelbagaikan ekonominya daripada berasaskan pertanian, komoditi dan industri kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

“Antara sektor yang pesat berkembang ialah e-Dagang yang menyumbang sebanyak 11.5 peratus kepada KDNK pada 2020 berbanding 8.5 peratus pada 2019.

“Nilai transaksi e-Dagang negara juga telah mencecah RM1 trilion buat pertama kalinya tahun lepas, meningkat sebanyak 21.8 peratus berbanding 2020,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap merasmikan MD, yang dahulunya dikenali sebagai MSC Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa melaksanakan pelbagai program dan inisiatif pembangunan ekonomi negara termasuk ekonomi digital negara yang semakin berkembang dengan jumlah organisasi, perniagaan dan pelabur yang terus bertambah.

Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), jelas Ismail Sabri lagi, telah memperkenalkan pelbagai program dan inisiatif dengan objektif menyebarkan manfaat ekonomi digital kepada seluruh Keluarga Malaysia.

“MDEC, selaku badan yang menerajui MSC Malaysia sejak 1996 telah berjaya mencorakkan ekosistem digital negara secara berterusan.

“Sehingga Disember 2020, terdapat 2,700 buah syarikat berstatus MSC yang aktif dari dalam dan luar negara yang bertapak di negara kita,” jelas beliau.

Atas sebab itu, Perdana Menteri berkata, inisiatif MSC perlu diberikan nafas baharu bagi memastikan inisiatif memacu ekonomi digital Malaysia terus relevan termasuk dengan penjenamaannya sebagai MD selain memastikan tadbir urus dan strategik pelaksanaannya diselaraskan di peringkat tertinggi kerajaan.