KUCHING: Kerajaan Sarawak meningkatkan usaha melahirkan lebih ramai sumber tenaga mahir tempatan  dalam mengendalikan industri ekonomi gas hidrogen dan produk-produk hiliran berkaitan..

Menerusi kerjasama institusi pengajian tinggi tempatan Sarawak Skills dan Kolej Universiti ICATS, program pendidikan dan kemahiran yang bertaraf antarabangsa dan moden terus diperkasakan.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan sumber manusia salah satu penggerak utama ke arah ekonomi hidrogen dengan mendirikan institusi berkaitan termasuk pusat latihan vokasional dan pusat kemahiran khas 

“ICATS akan membina sebuah kampus baharu dan kampus keduanya berhampiran Kampung Trombol di Telaga Air Kuching bagi menyediakan lebih banyak ruang kepada rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama untuk menimba ilmu dan kemahiran dalam teknologi baru ini.

“Unsur pilih kasih tidak wujud kerana ia bukan sahaja ditujukan untuk semua masyarakat di Sarawak tetapi juga disasarkan kepada pelajar di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pengisytiharan Majlis Pengisytiharan Konvokesyen ke 24 Sarawak Skills dan Kolej Universiti ICATS yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn di sini pada Sabtu.

Dalam ucapannya, Abang Jo juga memberitahu program yang dibangunkan di Kolej Universiti ICATS memenuhi aspirasi kerajaan negeri untuk membangunkan masyarakat yang berkembang maju didorong oleh data dan inovasi.

Jelasnya, dengan sokongan pihak berkepentingan utamanya daripada kerajaan dan pengiat industri, ICATS kini memebangunkan pelbagai program termasuk Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana, Kedoktoran dan Doktor Falsafah sebagai kunci kepada sektor ekonomi baharu itu di Sarawak.

“Program-program ini sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030). Sebagai contoh, baru-baru ini ICATS telah melancarkan dua program iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Agroteknologi dan Ijazah Sarjana Muda Pelancongan dan Hospitaliti (Kepujian).

“Setakat ini Sarawak adalah negeri yang terkehadapan dalam usaha membina ekonomi hidrogen dengan sasaran negeri ini menjadi akan pengeluar utama gas tersebut di rantau ini. Pelabur asing sudahpun membuat  komitmen untuk membina loji pengeluaran gas hidrogen hijau di Bintulu yang akan dieksport ke luar negara, khususnya Jepun,” katanya.

Majlis Pengisytiharan Konvokesyen itu dihadiri seramai 697 bakal graduan antaranya terdiri daripada 300 graduan penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma serta Ijazah Sarjana Muda pelbagai bidang.