BERA: Sikap toleransi yang ditonjolkan rakyat dalam Keluarga Malaysia membolehkan ekonomi negara terus bangkit.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, susulan itu Malaysia berjaya mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbaik di Asia Tenggara.

"Saya lihat di Bera ini walaupun kita ada pelbagai kaum dan agama tapi mampu hidup aman dan harmoni. Negara yang makmur dan harmoni sahaja membolehkan kerajaan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi.

"Ramai di antara golongan peniaga mahu melihat politik stabil dan negara aman baru boleh menjalankan perniagaan.

"Dengan kerhamonian yang ada pada kali ini kita lihat ekonomi kita bertambah baik berbanding lepas... KDNK 8.9 peratus merupakan yang terbaik di Asia Tenggara," katanya.

Ismail Sabri berkata, kadar inflasi serta pengangguran di negara ini juga dapat dikurangkan ke paras lebih baik berbanding negara lain.

"Untuk membolehkan kita capai keharmonian membangunkan ekonomi, kita mesti pastikan negara makmur dan aman.

"Cara paling baik adalah keharmonian dan kesepakatan kita wujudkan bersama, seterusnya hidup sebagai satu keluarga besar, Keluarga Malaysia," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Muafakat Keluarga Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Triang 2 di sini pada Ahad.

Dalam majlis itu, Ismail Sabri turut mengumumkan kelulusan peruntukan kepada 28 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, tokong, kuil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Bera.