KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya ekonomi negara gagal, sebaliknya, menganggap tuduhan itu sebagai tidak berasas.

Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, Tengku Zafrul menjelaskan, Malaysia berjaya mengharungi pelbagai cabaran terutamanya dari segi memastikan pemulihan ekonomi, kesejahteraan hidup rakyat, serta kelangsungan perniagaan.

Namun, kata beliau,  faktor seperti ketegangan geopolitik di antara Amerika Syarikat dan China, peperangan yang berlarutan di Ukraine dan fenomena perubahan iklim telah mengganggu rantaian bekalan yang meningkatkan harga komoditi dan makanan, lantas menyebabkan tekanan kepada kadar inflasi dan sekuriti makanan di pelbagai negara di dunia, termasuk negara ini.

"Walaupun pelbagai aspek luaran sangat mencabar sejak awal 2022, dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya membantu ekonomi Malaysia pulih, terutamanya sektor yang terjejas teruk semasa pandemik COVID-19 seperti pelancongan, peruncitan dan penerbangan.

"Pelbagai indikator ekonomi Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan termasuk pemulihan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang positif sebanyak 3.6 peratus bagi suku keempat 2021, 5.0 peratus pada suku pertama 2022, dan 8.9 peratus bagi suku kedua 2022," katanya dalam sidang media di Persidangan Pembangunan dan Pembiayaan Perumahan Hijau Asia anjuran Cagamas Bhd.

Menurut Tengku Zafrul juga, pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada suku pertama dan kedua serta mungkin pada suku ketiga akan melebihi unjuran yang kerajaan sasarkan pada tahun ini.