Selepas mencatat daerah dengan suhu paling panas di Malaysia sehingga menjangkau 40 darjah Celcius, penduduk di Sik, Kedah berdepan satu lagi masalah iaitu ular.

Reptilia itu yang dilaporkan memasuki rumah penduduk menjadi ancaman baharu sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Kehadiran spesies berbahaya ini dilaporkan ekoran cuaca panas berpanjangan menyebabkan hidupan itu mencari lokasi perlindungan baharu.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Kedah, Mejar Raja Mohd. Alhakim Raja Jaafar, sehingga Februari, pihaknya telah menerima beberapa laporan daripada penduduk dan mengeluarkan lebih 41 ekor ular dari kawasan kediaman.

“Sik menjadi salah satu daripada daerah paling panas di Malaysia dan disebabkan itu, ia paling diminati oleh reptilia terbabit.

“Selain Sik, daerah yang turut menjadi tumpuan reptilia itu ialah Padang Terap (126 ekor), Kuala Muda (81 ekor) dan Kota Setar (72 ekor),” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Menurut Raja Mohd. Alhakim memberitahu, sepanjang 2019, di Sik terdapat sekitar 20 kes pada Januari dan meningkat kepada 21 kes pada bulan lalu.

Melihat kepada trend musim panas, beliau menjangkakan bilangan kes akan bertambah disebabkan cuaca yang semakin panas dan di Sik sahaja mampu mencapai antara 37 hingga 40 darjah Celsius.

“Penduduk terutama yang tinggal di kawasan Sik agar mengamalkan gaya hidup sihat dengan meminum air kosong dalam kuantiti yang banyak.

“Di samping itu, mereka juga dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti luar serta mengenakan pakaian yang cerah dan tidak terlampau ketat,” katanya.

Pada Jumaat, Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataannya menyatakan bahawa beberapa kawasan di utara semenanjung terutama di Sik dan Chuping, Perlis diramalkan akan mengalami kemuncak suhu panas sehingga 38 darjah Celcius sehingga akhir bulan ini atau April.