NATIONAL
Ekosistem baharu pembelajaran TVET perlu dipercepat - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berkata pengambilan pelajar lepasan sekolah untuk mengikuti program kejuruteraan juga perlu ditingkatkan dan diberi tumpuan. - Gambar fail
LANGKAWI: Ekosistem baharu pembelajaran khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dipercepat bagi mencapai sasaran kerajaan untuk melahirkan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi.
Ringkasan AI
- Kerajaan mahu mempercepat pembangunan ekosistem baharu dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mencapai sasaran melahirkan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi, berbanding hanya 6,000 setahun ketika ini.
- Tumpuan akan diberikan kepada pelajar lepasan sekolah berasrama penuh, MRSM dan Maahad Tahfiz untuk menyertai bidang kejuruteraan, termasuk dalam sektor aeroangkasa di UniKL dan UPTM.
- Lima Memorandum Perjanjian (MoA) dimeterai antara UniKL MIAT dan syarikat industri seperti Galaxy Aerospace dan Malaysia Airports bagi memperkaya kurikulum serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri aeroangkasa serantau.
"Jadi kita tumpukan juga kepada lepasan pelajar di sekolah-sekolah berasrama penuh selain daripada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta Maahad Tahfiz swasta untuk kita mengambil mereka bagi menyertai bidang kejuruteraan," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian lima Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dengan lima pemain industri sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA'25) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata pengambilan lebih ramai lepasan Maahad Tahfiz akan dilakukan bagi mengikuti program kejuruteraan khususnya dalam bidang aeroangkasa di UniKL dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
Beliau berkata setakat ini terdapat 1,962 pelajar di UniKL sedang mengikuti kursus aeroangkasa, dengan 129 daripadanya terdiri daripada huffaz lepasan Maahad Tahfiz Ulul Albab.
"Saya bersyukur kerana pelajar-pelajar huffaz ini bukan sahaja diterima baik oleh UniKL MIAT malah turut mendapat sambutan positif daripada pemain industri. Mereka mampu menguasai silibus yang diperkenalkan dengan baik, dan dari segi praktikal, mereka juga cepat menyesuaikan diri," katanya.
Sementara itu, berhubung MoA membabitkan UniKL MIAT dengan lima pemain industri, Ahmad Zahid berkata kerjasama itu melibatkan syarikat Galaxy Aerospace, Aerostar Technologies, Global Turbine Asia, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Pen Aviation.
Beliau berkata kerjasama strategik itu bukan sahaja memperkaya kurikulum dan latihan teknikal UniKL MIAT malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama industri aeroangkasa serantau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami