LUMUT: Eksesais Samudera Perkasa Baray Siri 5/22 antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dapat memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua agensi keselamatan negara itu.

Ia sekaligus memperkasakan keupayaan kebolehoperasian bersama kedua-dua agensi dalam melaksanakan penguatkuasakan undang-undang dan menjaga keselamatan maritim negara.

Majlis pembukaan eksesais disempurnakan Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Farizal Myeor di KD Sri Indera Sakti di Pangkalan TLDM Lumut, semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama (M) V. Pannir Selvan Veloo.

Eksesais itu yang berlangsung sehingga 12 Ogos depan bertemakan “Penguatkuasaan Undang-Undang Maritim, Carilamat dan Pengenalan Peperangan Di Laut”.

Farizal berkata, tema eksesais kali ini berbeza berbanding dahulu kerana terdapat elemen kepada peperangan asimetrik dan konvensional selain aspek navigasi dan ilmu kelautan serta carilamat (search and rescue) yang masih dikekalkan.

Katanya, inisiatif itu, diyakini akan memperkukuhkan kesefahaman dan ketersediaan kedua-dua agensi melalui usahasama bersepadu bagi mematahkan sebarang niat jahat unsur-unsur yang melanggar undang-undang atau menceroboh perairan negara.

Kedua-dua agensi telah mempamerkan komitmen yang tinggi bagi menjayakan eksesais ini menerusi penglibatan aset seperti KD Sri Indera Sakti, KD Laksamana dan pesawat Fennec TLDM selain KM Bagan Datuk, KM Nyalau serta pesawat AW139 dari Maritim Malaysia.

Eksesais itu juga turut menyaksikan kehadiran aset-aset sokongan daripada kedua-dua agensi seperti Fast Combat Boat dan Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM serta Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia.