KUALA LUMPUR: Lebih 500 syarikat kini berada di dalam 'radar' Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana dipercayai membentuk 'kartel' untuk membida tender projek kerajaan.

Antara modus operandi adalah, ada pemililik syarikat sanggup berkahwin empat untuk membina empayar sendiri, yang membolehkan mereka menggunakan nama isteri dan saudara-mara yang dipercayai sebagai proksi.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata syarikat-syarikat terbabit dikesan cuba memanipulasi tawaran tender.

"Antara modus operandi ialah mereka ini berkomplot atau bersekongkol antara satu sama lain dan menyerahkan tender secara beramai-ramai.... (sebagai contoh) 50 syarikat sekali (hantar bidaan tender).

"Selepas itu mereka isi borang sama-sama, pergi lawatan tapak secara bersama... kalau surat itu ada salah ejaan, semua borang akan salah ejaan sebab pakai pencetak yang sama.

"Jadi mereka ini akan 'menentukan' siapa pemenangnya (dengan berpakat harga tender) dan seterusnya mengagihkan sesama sendiri seolah-olah tender kerajaan itu 'harta' mereka," katanya dalam temu bual program Niaga AWANI bertajuk 'Jangan Duga Taring MyCC' pada Rabu.

Mengenai tindakan pemilik syarikat berkahwin ramai, Iskandar mendedahkan ia adalah antara cara digunakan mereka untuk memperbanyakkan bilangan syarikat yang sebenarnya hanya berperanan sebagai proksi.

"Ada (pemilik syarikat) yang kahwin empat supaya mereka boleh membina satu empayar syarikat di mana syarikat 'A' akan dipegang oleh bapa mentua pertama, syarikat 'B' dipegang bapa mentua kedua, syarikat C pula milik adik ipar, syarikat D pula dipegang oleh anak saudara, syarikat lain pula isteri-isteri pegang.

"Ini seolah-olah mencipta satu empayar dengan 50 syarikat (contohnya) membida secara bersama," ujarnya.

Tegas beliau, kerajaan membuka tawaran tender kepada pihak berkelayakan dengan tujuan mendapatkan syarikat yang terbaik yang mampu menawarkan perkhidmatan berkualiti dengan harga yang munasabah dan kompetitif.

Namun, tindakan syarikat terbabit hanya menghasilkan ilusi seolah-olah tawaran harga mereka adalah yang terbaik, sehingga menjejaskan peluang syarikat lain yang benar-benar berkemampuan.

Selain tipuan bida kontrak kerajaan, beliau juga menegaskan pihaknya turut memantau aktiviti melibatkan kartel syarikat berkaitan bekalan makanan dan pertanian.

Bagaimanapun, beliau mengakui berdepan kekangan kerana proses siasatan mungkin mengambil masa lebih lama ekoran pihaknya perlu mengumpul bukti-bukti yang kukuh sebelum dikemukakan kepada anggota suruhanjaya.