MUDAH bagi anda sulit bagi dia
Remeh bagi anda rumit bagi dia
Kecil bagi anda besar bagi dia


Sesungguhnya kita tidak mengetahui kisah perjuangan seseorang itu melawan tekanan atau masalah.

Ada yang berhadapan masalah kekangan kewangan, ada yang ditimpa musibah kemalangan, dan ada juga yang menghadapi tekanan di atas kecurangan pasangan.

Jangan sesekali kita menggunakan sukatan penimbang yang sama ke atas masalah yang dihadapi oleh dua manusia berbeza.

Jangan kita pukul rata atau membuat generalisasi dengan menyimpulkan bahawa jika ini adalah masalahnya, maka inilah adalah solusinya.

Pendekatan ini adalah amat tidak adil bagi sesetengah pihak, sedangkan punca bagi sesuatu masalah itu juga tidak sama dan disebabkan beberapa contributing factor yang pelbagai.

Seeloknya kita juga harus mengelak dari membuat penilaian ke atas masalah seseorang itu.

Kebuntuan seorang ibu untuk mencari taska terbaik bagi menghantar anak berusia 4 tahun yang menghadapi masalah speech delay tidak boleh kita samakan dengan masalah seorang remaja perempuan yang baru putus cinta dengan kekasih.

Ketidakcekapan seorang nenek berusia 60 tahun dalam mengendalikan pembelian secara dalam talian tidak boleh kita samakan dengan kerinduan seorang suami kepada isteri dan anak yang jauh di perantauan.

Ranidaphobia yang dialami oleh seseorang itu tidak boleh kita samakan dengan caligynephobia yang dialami oleh seorang lelaki ataupun latrophobia seorang anak kecil.

Setiap masalah ada pendekatan tersendiri yang sesuai diadaptasi untuk mencari solusi, setiap masalah jika dibiarkan berlarutan berkemungkinan akan memberi kesan sama ada dalam jangka masa pendek atau dalam jangka masa panjang tidak dapat kita ketahui.

Mungkin anda seorang manusia yang hebat, tabah dan merasakan apa yang dilalui atau dihadapi oleh seseorang itu adalah perkara yang remeh, atau mungkin juga anda berpandangan bahawa ia hanyalah satu helah atau alasan.

Mana mungkin anda boleh menganggap semua orang seperti anda sedangkan latar belakang pendidikan, cara dibesarkan, pengalaman, pendedahan, kekuatan diri dan tahap kematangan setiap manusia itu berbeza.

Mungkin masalah anda pada ketika ini ialah tidak dapat membawa keluarga bercuti keluar negara, sedangkan orang lain menghadapi masalah bankrupsi, sewa kedai tak dapat dilunas, dan perniagaaan tidak dapat beroperasi.

Mungkin mudah untuk kita mengatakan "set your priority", sedangkan kita tidak mengetahui seseorang itu sedang bergelut mencari maksud sebenar apa itu "priority".

Personalization amat penting jika kita berkehendak untuk membantu sesiapa yang tidak terdaya atau memerlukan panduan juga pedoman.

Case to case basis, face to face basis, deep conversation adalah pendekatan yang boleh digunakan sekiranya kita ingin membantu.

Janganlah kita terus menghukum tanpa mendengar atau mendalami sesuatu masalah itu. Jika anda seorang majikan, pandanglah sesuatu itu dengan mata hati dan berikan sedikit empati.

Jika anda seorang guru, bantulah dan berikanlah sokongan tidak berbelah bahagi.

Janganlah kita sentiasa memandang sesuatu itu dengan perasaan benci dan ingin mencaci sedangkan kita belum pernah berbuat apa-apa untuk mendekati atau menyelami.

Mempunyai strong support system adalah sesuatu perkara yang amat penting pada ketika ini.

Tidak keterlaluan jika disimpulkan bahawa setiap dari kita menghadapi tekanan sama ada disebabkan faktor kerja, keluarga, kesihatan dan lain-lain lagi.

Pandemik COVID-19 benar-benar menduga dan membuatkan kita tidak terkecuali daripada menjadi berisiko tinggi.

Oleh itu, marilah kita menjadi strong support system kepada semua orang di sekeliling kita. Berikan sokongan penuh kepada pasangan, ahli keluarga, saudara mara, rakan sekerja dan juga jiran tetangga.

Jika kita merasakan tiada keperluan untuk mempunyai support system, maka kita boleh tawarkan diri untuk menjadi strong support system yang baik dan boleh dipercayai kepada orang lain.

Dengan sedikit ketekunan dan perhatian pada yang memerlukan sesungguhnya ia berupaya menjadikan dunia ini lebih indah untuk didiami.


Penulis merupakan seorang pegawai Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik yang berkhidmat di salah sebuah agensi pusat di Putrajaya.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI