KOTA BHARU: Masyarakat tidak seharusnya bermain dengan sentimen kenegerian atau menyalahkan kerajaan negeri sekiranya sesuatu kes jenayah berlaku.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan negeri dalam isu terbabit namun beliau tidak menafikan kes jenayah termasuk jenayah seksual berlaku di negeri itu malah kebelakangan ini ia semakin kerap dipaparkan di media.

Beliau berkata, walaupun Kelantan terkenal dengan jolokan Serambi Mekah, namun ia tidak bermakna negeri ini sempurna tanpa sebarang jenayah.

“Betul kita bukan nafi, negeri lain mungkin kurang sebab kurang laporan, dan saya tengok sikap kita ni, terutama netizen ni, bila ada isu Kelantan sahaja dia jadi besar, sedangkan masalah yang sama ada di tempat lain, tetapi seolah Kelantan ni mesti perfect, tak ada salah, tak ada silap, itu masalah dia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Festival Kelantan Jepun 2022 di Pasar Raya Mydin Mall di Tunjong, di sini, siang tadi.

Jenayah Meningkat | Jangan main sentimen kenegerian - Mohd Amar


Mohd Amar berkata, dalam usaha mengekang masalah seumpama itu, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan dasar membangun bersama Islam dengan meningkatkan pendidikan agama dan memberi kefahaman secukupnya kepada rakyat negeri itu.

Bagaimanapun menurutnya, teknologi yang semakin canggih serta dunia tanpa sempadan di masa sekarang menjadi cabaran besar untuk menangani masalah jenayah yang berlaku.

Katanya lagi, semua pihak terutama rakyat perlu memainkan peranan dan bukan hanya meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan serta pihak berkuasa semata-mata.