KUALA TERENGGANU:Tidak sampai 24 jam selepas kesemua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Terengganu ditutup, negeri itu sekali lagi dilanda banjir.

Hujan lebat yang bermula lewat petang Rabu menyaksikan empat daerah di negeri itu kembali terjejas melibatkan daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Pertembungan hujan lebat dan fenomena air pasang besar itu juga menyebabkan beberapa laluan di bandar raya Kuala Terengganu digenangi air.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata sehingga jam 8 pagi seramai 439 mangsa telah dipindahkan.

Katanya, sebanyak sembilan buah PPS termasuk sebuah di Pulau Redang telah diaktifkan bagi menempatkan 124 keluarga.

“Malam tadi agak drastik juga kenaikan paras air laut terutama di Bandaraya Kuala Terengganu ini implikasi daripada julat hujan lebat yang turun dengan terlalu banyak kita mendapat info atau maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) julat hujan yang turun malam tadi hampir 6 ke 8 jam di antara 160 ke 180 mm yang mana sangat banyak untuk tempoh berkenaan,” katanya.

Che Adam berkata setakat ini daerah Marang merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 157 orang dan 42 keluarga itu dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Rusila.

Ia disusuli daerah Kuala Terengganu dengan 114 mangsa melibatkan 36 keluarga dipindahkan ke tiga PPS.

Di Kuala Nerus, sebanyak tiga PPS turut dibuka bagi menempatkan 22 keluarga melibatkan 96 mangsa.

Manakala di Kemaman, seramai 73 mangsa daripada 24 keluarga telah dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Kemasik dan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ranggon.