PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk pengarah dan ketua pegawai kewangan syarikat semalam bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dalam perjanjian sukuk bernilai RM596 juta yang melibatkan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Menurut sumber SPRM, keempat-empat lelaki yang berumur antara 40 dan 55 tahun itu ditahan lewat petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini.

Tiga daripada mereka direman tiga hari selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan yang dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, manakala seorang lagi dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Menurut sumber SPRM, sukuk itu diuruskan oleh sebuah bank tempatan bagi membiayai projek berkenaan.

Menurutnya semua perbelanjaan dan hasil projek itu perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khas yang ditetapkan, namun akaun khas itu kemudiannya ditukarkan kepada akaun lain yang dipercayai sengaja diwujudkan pada awal 2022, disyaki bagi mengelakkan daripada pembayaran semula prinsipal dan keuntungan kepada pemegang sukuk.

Sumber itu berkata tindakan mewujudkan satu akaun lain akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit terhadap pemegang sukuk.

Difahamkan, perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat yang dilantik untuk pelaksanaan projek berkenaan dimeterai pada Julai 2011 dengan tempoh selama 12 tahun, dan sukuk berkenaan dijangka mencapai tempoh matang pada Mei 2023.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan, namun enggan mengulas lanjut.

-- BERNAMA