KUCHING: Empat nelayan terpaksa berpaut pada sebatang kayu selama empat jam selepas bot yang dinaiki mereka karam di 3.5 batu nautika dari Tanjung Po, Lundu pada Khamis.

Kejadian malang itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 8 pagi Khamis ketika bot nelayan tempatan berkenaan turun ke laut untuk menangkap ikan.

Bagaimanapun, kesemua mereka yang berusia 26 hingga 56 tahun itu berjaya diselamatkan nelayan lain yang kebetulan melalui kawasan tersebut kira-kira pukul 12.55 tengah hari.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, empat nelayan itu berlepas dari Jeti Nelayan Kampung Beladin sekitar jam 4 pagi.

"Bagaimanapun kira-kira 8 pagi ketika dalam perjalanan, bot dinaiki mereka dipukul ombak besar menyebabkannya pecah dan tenggelam.

"Malah mereka dilaporkan tidak sempat untuk memakai jaket keselamatan dan berpaut pada sebatang kayu selama lebih kurang empat jam sebelum diselamatkan oleh sebuah sampan yang melalui kawasan tersebut," katanya.

Menurut Zin Ahmad, kesemua mangsa kemudian dibawa ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) dan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Bako untuk pemeriksaan lanjut.

Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan sihat sebelum dibenarkan pulang.

Maritim Malaysia menggesa komuniti nelayan agar tidak pergi ke laut memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Sebarang maklumat atau laporan kecemasan di laut boleh disalurkan secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544.