Empat jasad murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang ditemui di Sungai Perias di sini selamat dikebumikan dalam sebuah kubur di Kampung Penad hari ini.

Empat jasad itu berupa dua mayat dan dua rangka milik Ika Ayel, 7, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7.

Keluarga mereka menuntut mayat anak masing-masing di Bilik Mayat Hospital Gua Musang (HGM) pukul 10 pagi dan bertolak ke Kampung Penad kira-kira 100 kilometer dari Bandar Gua Musang dengan menggunakan empat kenderaan pacuan empat roda melalui jalan pembalakan.

Keluarga keempat-empat mangsa berkenaan dibenarkan menuntut mayat kesemua kanak-kanak itu selepas pembuktian identiti menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selesai dijalankan oleh Jabatan Kimia semalam.

Kenderaan yang membawa empat mayat itu turut diiringi 20 kenderaan lain yang memuatkan anggota keluarga mangsa. Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Nisra Nisran Ramlan.

Keempat-empat mangsa dikebumikan secara serentak mengikut adat Orang Asli suku Temiar di Kampung Penad pada pukul 2 petang.

Bercakap kepada pemberita, ibu Haikal, Midah Angah, 40, berkata beliau bergegas ke hospital itu bagi menuntut mayat anaknya untuk dikebumikan bersama tiga mangsa yang lain di kampung asalnya itu.

Beliau terpaksa meninggalkan sementara anak perempuannya Norieen Yaakob, 10, yang masih menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (RPZII) di Kota Baharu.

Beliau menerima hakikat kematian anak lelakinya itu tetapi tetap gembira kerana seorang lagi anaknya, Norieen ditemui selamat walaupun ketika itu kurus kering kerana dehidrasi.

"Saya bergegas pulang ke Hospital Gua Musang kerana mahu juga menguruskan mayat Haikal untuk kali terakhir, lagi pun saya telah lama tidak pulang ke rumah di Kampung Penad (kerana menemani Norieen di HRPZII sejak 9 Okt)," katanya.

David Muasam, 32, pula berkata beliau sudah beberapa kali datang ke HGM untuk menuntut mayat anaknya, Linda, tetapi terpaksa pulang selepas pihak berkuasa mahu pengesahan melalui keputusan DNA.

Beliau berkata rakan-rakanya juga bersetuju untuk menuntut mayat anak masing-masing sekali gus bagi memudahkan urusan pengkebumian.

"Kami sedih ketika dibenarkan pihak hospital untuk mengecam anak masing-masing, tetapi tetap menerima hakikat mengenai kejadian menimpa anak kesayangan kami," katanya.

Tujuh murid SK Tohoi dilaporkan hilang selepas bertindak melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos kerana takut dikenakan hukuman kerana mandi di sungai tanpa kebenaran.

Dua murid iaitu Norieen dan Miksudiar Aluj, 11, ditemui hidup pada 9 Okt selepas hilang selama 48 hari di dalam hutan.

Gerakan mengesan seorang lagi murid, Sasa Sobrie, 8, masih diteruskan.