Skip to main content

Malaysia

Polis rakam keterangan 10 saksi bantu siasatan kes abu mayat hilang

41767627629_TBSuptJohariYahya.jpg
Johari berkata setakat ini empat tong abu mayat ditemukan namun pengesahan penuh dan semakan keseluruhan sedang dijalankan pihak pengurusan. - Gambar fail

SEREMBAN: Polis merakam percakapan 10 saksi setakat ini bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan 30 tong abu mayat di taman peringatan (memorial park) di Nilai yang dilaporkan pada 26 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata setakat ini empat tong abu mayat ditemukan namun pengesahan penuh dan semakan keseluruhan sedang dijalankan pihak pengurusan.

Advertisement

“Siasatan masih berjalan dan pihak polis sedang melengkapkan rakaman percakapan saksi berkaitan kes termasuk pekerja taman peringatan itu dan ia dijalankan secara menyeluruh dengan meneliti semua sudut siasatan yang relevan.

“Antara aspek yang turut diberi perhatian adalah kemungkinan penglibatan pihak dalaman namun siasatan masih di peringkat awal dan belum dapat disahkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata polis juga sedang membuat perbandingan dan analisis sama ada ia mempunyai kaitan dengan kes kecurian tong abu mayat di Kulai sebelum ini, bagaimanapun setakat ini belum dapat dipastikan sebarang kaitan.

Pihak polis, katanya, sedang mendapatkan bantuan teknikal selain menjalankan analisis lanjut termasuk aspek komunikasi serta transaksi terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 380, Seksyen 384 dan Seksyen 297 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

 

 

Must Watch Video