Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Empat kanak-kanak Myanmar ditahan baling batu, batang besi ke arah warga emas

Tular di media sosial mengenai kejadian seorang wanita warga emas disedang kanak-kanak Myanmar di Bukit Mertajam baru-baru ini. Foto kecil: Nik Aminuddin
Tular di media sosial mengenai kejadian seorang wanita warga emas disedang kanak-kanak Myanmar di Bukit Mertajam baru-baru ini. Foto kecil: Nik Aminuddin

Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Gara-gara tidak berpuas hati selepas ditegur kerana membuat bising ketika bermain di taman permainan, sekumpulan kanak-kanak didakwa membaling batu dan melontarkan batang besi ke arah seorang wanita warga emas berusia 71 tahun di Taman Sri Rambai di sini.

Kejadian pada 22 Oktober lalu itu menyebabkan mangsa berasa takut sebelum membuat laporan polis pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika warga emas berkenaan menegur sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di taman permainan berhampiran kediamannya kerana menimbulkan bunyi bising.

Menurutnya, teguran tersebut tidak diendahkan sebelum kumpulan berkenaan didakwa bertindak membaling batu dan melontarkan batang besi ke arah mangsa.

“Bagaimanapun, objek yang dibaling dan dilontarkan itu tidak terkena wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Nik Aminuddin berkata, susulan laporan polis diterima, pihaknya menjalankan siasatan sebelum menahan empat kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia antara sembilan hingga 12 tahun.

"Kesemua mereka ditahan menerusi beberapa serbuan berasingan di sekitar Taman Sri Rambai di sini.

"Kita turut merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan," ujarnya lagi.

Beliau menambah, kesemua tangkapan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi permohonan reman.

"Reman telah dibenarkan selama empat hari bermula hari ini hingga 30 Oktober untuk membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau tingkah laku anak-anak serta mendidik mereka agar sentiasa menghormati orang lain.

"Orang ramai turut diminta supaya menjaga keharmonian hidup berjiran dan melaporkan sebarang ancaman keselamatan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement