BALIK PULAU: Polis menahan empat lelaki dipercayai dijadikan 'keldai akaun' oleh sindiket penipuan sehingga mangsa kerugian RM238,889.21 dalam siri serbuan di Pulau Pinang, semalam.

Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan empat lelaki berusia 29 hingga 43 tahun itu ditahan berasingan di sekitar di Bayan Lepas, Georgetown serta Simpang Ampat, dekat sini.

"Berdasarkan siasatan, polis mendapati empat lelaki itu terlibat dengan beberapa sindiket penipuan iaitu memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pihak insurans, pegawai polis dan memperdaya mangsa dalam urusan pinjaman wang tidak wujud dalam talian.

"Semua suspek itu dipercayai terlibat dalam kes yang dilaporkan pada tahun 2017, 2020 dan 2023. Jumlah kerugian yang telah dialami oleh mangsa-mangsa ialah RM2,725 sehingga RM238,889.21," menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut memaklumkan, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA