KUCHING: Empat lagi kluster baharu COVID-19 diisytihar di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif di negeri ini sebanyak 77, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Kluster berkenaan ialah Kluster Jalan Airport di Miri melibatkan kluster tempat kerja dengan 12 kes positif, Kluster Jalan Ilmu di Miri (24), Kluster Jalan Masket di Sebauh (17), dan Kluster Sungai Durin di Sibu (22).

Manakala, tiga kluster diumumkan tamat setelah tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari, iaitu Kluster Abok Bon di Subis, Kluster Ulu Anap di Tatau dan Kluster Singgahsana Lodge di Kuching.

JPBN dalam kenyataan hari ini turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di sembilan lokaliti, termasuk di kuarters pekerja Woodman Sdn Bhd, kuarters pekerja Kem Gabong Trading dan Rumah Panjang (Rh) Abong anak Madang di Tatau, dari 4 hingga 17 Jun.

Selain itu bilik sewa atas kedai belakang MDS Mart Samalaju di Bintulu dari 5 hingga 18 Jun; Rh Clement Bayang dan kawasan rumah 'setinggan Batu 6 di Bintulu serta Rh Bruen Kampung Banting di Sri Aman (6 hingga 19 Jun); Rh Entu Klampu di Sri Aman dan Rh Jeffery Mangan di Julau (7 hingga 23 Jun).

Untuk rekod Sarawak hari ini secara keseluruhan merekodkan 703 lagi kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif 51,874 dan empat kematian menjadikan jumlah kematian keseluruhan meningkat kepada 326 orang.

-- BERNAMA