PUTRAJAYA: Empat lagi penjawat awam ditahan kerana disyaki terbabit rasuah sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu sempadan negara.

Mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan berhubung  siasatan rasuah lebih RM5 juta di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.

Ini menjadikan kesemua lapan penjawat awam ditahan berhubung kes itu setakat Rabu.

Kesemua suspek yang berusia antara 30-an dan 50-an itu kini ditahan reman tiga hari sehingga Jumaat.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini, pada Rabu.

Menurut sumber, kesemua suspek itu dipercayai menjadi perantara sindiket terbabit untuk membayar wang rasuah kepada penjawat awam di sebuah agensi penguat kuasa bagi memudahkan urusan penyeludupan.

"Wang rasuah daripada sindiket ini dimasukkan ke dalam akaun mereka dan kemudian dipindahkan ke akaun beberapa penjawat awam yang terbabit," katanya.

Reman terhadap suspek ini adalah susulan operasi khas yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Isnin lalu di mana seramai lapan individu telah ditahan dan empat daripadanya telah direman semalam.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman empat suspek tersebut.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.