KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki termasuk seorang warga India kerana disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) dalam serbuan di Shah Alam dan Subang Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, berkata hasil soal siasat mendapati empat lelaki berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun itu mengaku terlibat dengan kes kecurian kabel di kawasan Subang Jaya.

"Kita turut merampas beberapa peralatan digunakan untuk mencuri kabel iaitu dua unit alat mesin leraian tembaga, peralatan memotong wayar, pembuka 'manhole' dan satu beg guni berisi leraian tembaga seberat 350 kilogram dengan anggaran nilai tembaga dirampas RM11,000.

"Dua kenderaan yang digunakan suspek melakukan aktiviti jenayah itu turut dirampas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai pembantu teknik TM berusia 52 tahun semalam, yang mendapati beberapa jenis kabel syarikat itu dipotong dan dicuri semasa pengadu melakukan pemeriksaan kabel syarikat tersebut pada Rabu lepas.

Beliau berkata dengan tangkapan empat lelaki itu, lapan kes yang melakukan modus operandi sama dapat diselesaikan dalam daerah berkenaan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda.

-- BERNAMA