Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari akan berlepas ke Australia minggu depan bersama tiga lagi pengerusi jawatankuasa MH370 bagi meneruskan perbincangan lanjut secara terperinci operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu yang hilang di Lautan Hindi, Mac lepas.

Jailani, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Komunikasi dan Media Insiden MH370, berkata perbincangan dengan rakan sejawat di sana adalah berikutan misi pencarian sudah memasuki fasa kedua.

"Malaysia sedang meneliti keperluan untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan China dan Australia yang terlibat dalam operasi pencarian MH370," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Merdeka Raya serta mengagihkan Jalur Gemilang kepada wakil empat kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Ajil, Manir, Telemong dan Kuala Berang di Kampung Tok Randok, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata perbincangan di Canberra itu antara lain akan menyentuh perincian pencarian, isu komunikasi dan kos pencarian.

Tiga jawatankuasa lain ialah Jawatankuasa Penggunaan Kerahan Aset, Jawatankuasa Teknikal dan Logistik dan Jawatankuasa Waris Penumpang.

Jawatankuasa kecil itu masing-masing dipengerusikan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.

Jailani berkata rakyat Malaysia tidak perlu meragui kemampuan kerajaan menangani insiden kehilangan MH370 kerana ia sentiasa menjadi fokus utama ketika ini.

"Sekali lagi saya tegaskan, pencarian MH370 kekal menjadi antara agenda terpenting negara ketika ini dan keluarga waris penumpang dan anak kapal MH370 jangan risau mengenai perkara itu," katanya.

MH370, yang membawa 239 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke Beijing pada 12.41 tengah malam, 8 Mac lepas.