Kualiti udara hari ini semakin merosot apabila enam kawasan di utara melibatkan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat setakat 9 pagi ini.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan tersebut ialah Kangar di Perlis (242); Alor Setar (228), Bakar Arang, Sungai Petani (244) dan Langkawi (236) di Kedah; Seberang Jaya 2, Perai (272) serta Universiti Sains Malaysia (236) di Pulau Pinang.

Sementara itu, sebanyak 28 kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat termasuk Tanah Merah, Kelantan (120); Bandaraya Melaka (102); Nilai (102), Seremban (103) di Negeri Sembilan; Jalan Tasek, Ipoh (158), Kampung Air Putih, Taiping (161) dan Seri Manjung (182) di Perak.

Kawasan lain ialah Kuching (125), Samarahan (131), Sri Aman (162) di Sarawak; Kuala Selangor (151), Pelabuhan Klang (159), Petaling Jaya (144), Shah Alam (138) di Selangor; Kuala Terengganu (108); Batu Muda di Kuala Lumpur (118) dan Putrajaya (115).

Enam belas kawasan pula mencatatkan bacaan IPU sederhana antaranya Kota Tinggi (63), Muar (83) di Johor; Port Dickson di Negeri Sembilan (95); Indera Mahkota, Kuantan dan Jerantut di Pahang (masing-masing 92); Keningau di Sabah (64), Bintulu di Sarawak (85) dan Cheras di Kuala Lumpur (99).

Hanya Labuan sahaja merekodkan bacan IPU baik iaitu 46.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.