TAWAU: Seramai enam individu ditahan polis kerana cuba melakukan demonstrasi di hadapan sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Muhibbah Raya, di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian pada jam 3.20 petang itu, sekumpulan enam individu dilihat datang dari luar perkampungan tersebut menghampiri SJR sambil memegang sepanduk.

Tujuan mereka melakukan tindakan tersebut dipercayai kerana ingin menyuarakan keadaan keluarga mereka yang tinggal di kampung berkenaan yang dikatakan terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampung berkenaan.

Kesemua individu tersebut yang berumur sekitar 20-an hingga 30-an juga bukan berasal dari kampung tersebut tetapi datang luar kampung berkenaan.

Bagaimanapun polis dapat mengawal keadaan dan cubaan tunjuk perasaan tersebut terkawal pada jam 3.30 petang.

Kesemua individu tersebut dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut termasuk dikompaun.

Lima buah motorsikal yang digunakan individu tersebut turut dibawa ke balai polis dengan menggunakan lori polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan semua yang terlibat akan dikompaun dibawa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.