JEMPOL: Enam banduan tahanan reman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bahau pada Isnin atas pertuduhan melarikan diri daripada tahanan sah mengikut undang-undang, minggu lepas.

Tertuduh, Sohaimi Khalid, 50, Mazlan Samah, 39, Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28, Shazuan Md Sharif, 32, Mohd Zairizan Zainal, 42, dan seorang bukan warganegara Zainuddin, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh secara bersama dengan seorang yang masih bebas sengaja mengambil peluang kepada tahanan tertuduh secara sah di mana tertuduh telah melarikan diri daripada tahanan yang sah mengikut undang-undang atas kesalahan tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Institut Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia pada 10 April lepas jam lebih kurang 2 petang.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie itu tidak membenarkan sebarang jaminan manakala kesemua tertuduh tidak di wakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan pada 12 Mei ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN