Skip to main content

Malaysia

Enam wanita terima pengiktirafan "Women in Technology Award YTF 2026"

Tuanku Syed Sirajuddin (duduk dua, kiri) dan Tuanku Tengku Fauziah (duduk dua, kanan) berkenan bergambar bersama para penerima Anugerah Wanita dalam Teknologi YTF 2026 pada Sabtu.  Berangkat sama, Tuanku Syed Faizuddin (duduk, kiri) dan  Lailatul Shahreen (duduk, kanan). – Gambar Bernama
Tuanku Syed Sirajuddin (duduk dua, kiri) dan Tuanku Tengku Fauziah (duduk dua, kanan) berkenan bergambar bersama para penerima Anugerah Wanita dalam Teknologi YTF 2026 pada Sabtu. Berangkat sama, Tuanku Syed Faizuddin (duduk, kiri) dan Lailatul Shahreen (duduk, kanan). – Gambar Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat ke majlis anugerah Women in Technology Awards 2026 Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) 2026, di sini, pada Sabtu.

Majlis penyampaian anugerah dan jamuan makan malam gala itu diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-80 keputeraan Tuanku Tengku Fauziah.

Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis yang juga Penaung Diraja YTF, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pada majlis itu, ahli akademik emeritus Profesor Datin Paduka Setia Datuk Dr Aini Ideris mengetuai senarai penerima apabila menjadi antara enam wanita yang menerima pengiktirafan atas sumbangan cemerlang dalam bidang teknologi, penyelidikan, inovasi dan kepimpinan.

Dr Aini yang juga bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi hadiah utama bagi kategori Senior Women in Technology, sekali gus membawa pulang wang tunai RM30,000.

Sementara itu, Profesor Madya Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Dr Serene Lock Sow Mun memenangi hadiah utama bagi kategori Junior Women in Technology, dan menerima hadiah wang tunai RM15,000.

Untuk kategori pengiktirafan khas, pensyarah kanan UPM, Profesor Dr Suraya Abdul Rashid menerima anugerah Special Award-Rising Star, manakala pengasas Global Psytech, Dr Haniza Yon menerima anugerah Special Award-Industry Changemaker, menyaksikan masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000.

Dalam kategori junior, pensyarah kanan Universiti Malaya (UM), Dr Marlinda Ab Rahman menerima anugerah Special Award-Rising Star, manakala Profesor Madya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Afzan Ahmad Zaini menerima anugerah Special Award-Industry Changemaker, dan masing-masing menerima wang tunai RM5,000.

Anugerah itu bertujuan meraikan sumbangan wanita, menonjolkan sumbangan wanita dan memberikan inspirasi kepada generasi wanita akan datang untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Turut hadir ialah anggota Lembaga Pemegang Amanah YTF, tetamu kehormat serta wakil industri, ahli akademik dan ekosistem teknologi.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement