KUALA LUMPUR: Populasi dewasa di negara ini dijangka mencapai 100 peratus kadar vaksinasi lengkap dua dos menjelang akhir Oktober, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Susulan itu, beliau berkata, rakyat di negara ini akan memulakan kehidupan dengan COVID-19 sebagai wabak endemiK.

Ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara (NRS) secara maya hari ini, Tengku Zafrul berkata, sasaran mencapai kadar imuniti tertentu merupakan kunci bagi membolehkan negara berada di landasan pemulihan yang tepat.

“Setakat ini negara sudah menyaksikan keberhasilan usaha yang dilakukan selama ini, termasuk pengurangan kadar kemasukan ke hospital, serta kadar pesakit yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

“Untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bakal memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat, lebih banyak aktiviti ekonomi bakal dibuka dalam usaha memulihkan kembali sektor ekonomi negara,” katanya lagi.

Tengku Zafrul berkata, sehingga 7 September, kadar vaksinasi menunjukkan sekitar 20 juta atau 89 peratus populasi dewasa sudah menerima dos pertama vaksin.

Sementara itu 16 juta populasi dewasa, atau 70 peratus sudah selesai menerima dua dos vaksin COVID-19.

BACA: Kerajaan kaji turunkan lagi harga kit ujian kendiri RTK menjelang hujung tahun - Tengku Zafrul 

Menyentuh mengenai langkah pemulihan jangka pendek, Tengku Zafrul berkata, PPN akan memberi fokus kepada pengurusan pandemik yang efektif, dengan cara memutuskan rangkaian jangkitan, mengurangkan morbiditi dan kematian, di samping mengekalkan sokongan untuk keperluan bukan COVID-19.

“Bagi meluaskan usaha ujian saringan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengiktiraf RTK Antigen, serta meluluskan kit ujian saringan COVID-19 kendiri yang boleh didapati di farmasi di seluruh negara.

“Dalam memastikan kit ujian saringan kendiri ini mudah didapati, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia dan KKM telah menetapkan harga siling di bawah RM20.

"Kedua-dua kementerian akan melihat cara untuk menurunkan lagi harga ini,” katanya lagi.