ENTERTAINMENT
Enggan hubungan ‘terapung’, Mr E mahu segera sunting Erra Fazira sebagai isteri

Mr E dan Erra Fazira sudah bersedia untuk membawa hubungan peribadi mereka ke fasa pernikahan.
PETALING JAYA: Usahawan Ezwan Zain atau lebih mesra disapa Mr E mengakui kesediaannya untuk membawa hubungan akrabnya dengan artis tersohor negara, Erra Fazira ke fasa lebih serius iaitu pernikahan.
Sebagai lelaki yang matang, Mr E enggan hubungannya dengan Erra ‘terapung’ tanya hala tuju dan kerana itu, beliau mahu segera menyunting primadona kesayangan ramai itu menjadi isterinya yang sah.
“Benda yang baik… kalau boleh mahu cepat (menikah). Tahun ini atau tahun depan,” kata lelaki berusia 44 tahun itu ringkas dalam satu pertemuan dengan wartawan hiburan, di sini, malam tadi.
Ditemani buah hatinya pada pertemuan itu, pengakuan Mr E disambut dengan senyuman manis Erra yang menyimpul 1,000 makna.“Doakan ya. Kalau okey semuanya berjalan baik dan lancar kita harap secepat yang mungkin (menikah).
Tapi tahun ini atau tahun hadapan saya tidak tahu,” ujar Erra yang masih anggun pada usia 51 tahun.
Pasangan yang mengenakan pakaian sedondon bewarna merah itu ditemui pada majlis Rumah Terbuka #Raya Sempoi anjuran Mind Order meraikan wartawan-wartawan hiburan di Kueh Café cawangan keempat yang diasaskan oleh Mr E.
Kueh Café yang terletak di Seksyen 16 Petaling Jaya itu bakal beroperasi pada esok (Selasa).
Dalam pertemuan kasual itu, baik Erra mahupun Mr E kedua-duanya mengakui berkongsi misi dan visi yang sama sekaligus membuat mereka ada berbincang untuk membawa hubungan baik yang dijalin ke fasa seterusnya.
“Oleh kerana kami berdua pun sudah matang jadi kami mahu melalui hubungan ini tanpa tekanan. Chill-chill (tenang-tenang) sahaja tapi tetap perlu ada perancangan, tidak boleh tergantung,” kata Mr E lagi.
Dalam kegembiraan meraikan hubungan yang manis ini, Erra tidak menafikan, jauh di sudut hatinya pernah tercetus perasaan skeptikal untuk menuju ke gerbang pernikahan selepas lama hidup sebagai ibu tunggal.
“Dalam fasa ini saya ada fikir dan skeptikal untuk ke arah itu (kahwin) tapi untuk kebaikan dunia dan akhirat, saya perlu (kahwin).
“Cuma sekarang ini saya bukan sangsi (kahwin) tapi bila sudah lama sangat solo, sudah rasa selesa. Tapi saya fikir semula adakah hanya mahu rasa seronok dunia saja? Jadi fitrah manusia (berkahwin),” ujar ibu kepada seorang anak perempuan, Engku Aleesya Engku Emran yang kini berusia 16 tahun.
Mengulas lanjut perihal pernikahan juga, Erra bagaimanapun memberitahu, beliau dan Mr E belum ke tahap berbincang dengan anak masing-masing mengenai perancangan membawa hubungan ke fasa yang lebih serius.
“Keluarga semua memang sudah saling kenal kerana untuk melangkah ke fasa seterusnya kami perlukan ‘green light’ semua tapi belum kaitkan anak-anak dengan perbincangan ini. Namun, setakat ini Alhamdulillah mereka okey,” ujar Erra lagi.
Pada Mac lalu, Mr E mengaku menjalin hubungan serius dengan Erra selepas berkenalan pada Ogos 2024.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami