MALAYSIA
Kes bunuh penuntut di Cyberjaya: Suspek utama ada 'niat tidak baik' terhadap mangsa - Polis

Menurut Hussein, hasil siasatan mendapati suspek lelaki berkenaan memasuki unit apartmen menggunakan kad akses dan kunci yang diberikan teman wanitanya, yang juga rakan serumah mangsa, sebelum pulang ke kampung. - Gambar fail
SHAH ALAM: Polis percaya suspek utama dalam kes pembunuhan Maniishapriet Kaur, 20, seorang penuntut universiti swasta di Cyberjaya minggu lalu mempunyai 'niat jahat' terhadap mangsa dan mengambil kesempatan ketika mangsa tinggal bersendirian di apartmennya pada hari kejadian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati suspek lelaki berkenaan memasuki unit apartmen menggunakan kad akses dan kunci yang diberikan teman wanitanya, yang juga rakan serumah mangsa, sebelum pulang ke kampung.
"Suspek utama merupakan teman lelaki kepada salah seorang suspek wanita yang juga rakan serumah mangsa. Hasil siasatan mendapati suspek mengambil kesempatan terhadap mangsa yang tinggal bersendirian di apartmen tersebut. Suspek memang mempunyai niat tidak baik ke atas mangsa, dan apabila berpeluang pada malam kejadian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, pada Selasa.Hussein memberitahu, ini bukan kali pertama suspek utama memasuki unit apartmen berkenaan, sebaliknya dia pernah beberapa kali bermalam di kediaman itu sebelum ini.
Siasatan lanjut katanya mendapati, suspek kemudian memukul mangsa menggunakan objek tumpul sehingga menyebabkan kematian.
Maniishapriet yang berasal dari Kuching, Sarawak, ditemukan mati di dalam bilik asramanya pada jam 10.28 pagi, Khamis lalu.
Mangsa tinggal bersendirian di bilik asrama berkenaan selepas lima rakan sebiliknya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu. Mendiang dijadualkan menduduki peperiksaan dalam masa terdekat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami