Skip to main content

Malaysia

ESG perlu jadi budaya nasional, bukan sekadar syarat pembiayaan - Fadillah

KUALA LUMPUR, 28 Julai -- Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof (dua, kiri) menunjukkan buku 'MAPAN Sustainability Compass' yang diterima pada Majlis Perasmian MAPAN ESG Summit 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.  Turut hadir Pengasas dan Pengerusi Persatuan Advokasi Awam Malaysia untuk Alam Semula Jadi (MAPAN) Dr Ben Ong Joo Hock (kanan) dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Sufian Jusoh (kiri).  -
Fadillah (dua, kiri) menunjukkan buku 'MAPAN Sustainability Compass' yang diterima pada Majlis Perasmian MAPAN ESG Summit 2026 di WTC hari ini. Turut hadir Pengasas dan Pengerusi MAPAN Dr Ben Ong Joo Hock (kanan) dan Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh (kiri). - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) perlu dijadikan budaya nasional dan bukan sekadar dokumen pelaporan, syarat mendapatkan pembiayaan atau memenuhi kehendak pasaran antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata ESG perlu membentuk cara membuat keputusan, mengurus organisasi, menjalankan perniagaan serta memelihara amanah terhadap bumi, masyarakat dan generasi akan datang.

“Apabila ESG menjadi budaya, kita tidak lagi melaksanakannya kerana diwajibkan oleh undang-undang atau didorong oleh tuntutan pasaran, sebaliknya kita melaksanakannya kerana kita percaya bahawa itulah jalan yang terbaik untuk membina sebuah negara yang lebih makmur, lebih adil dan lebih berdaya tahan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Industri dan Akademik MAPAN ESG 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Fadillah berkata ESG merupakan kerangka pembangunan strategik yang mampu meningkatkan daya saing negara, memperkukuh daya tahan perniagaan, meningkatkan keyakinan pelabur serta memastikan pembangunan yang dinikmati hari ini tidak mengorbankan kepentingan generasi akan datang.

Beliau berkata kerajaan juga telah merangka dasar strategik termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Dasar Keusahawanan Nasional 2030 serta Kerangka Ekonomi MADANI, bagi menyokong transformasi negara ke arah ekonomi rendah karbon, berteknologi tinggi dan lebih berdaya tahan.

Selain itu, beliau berkata kejayaan peralihan hijau bergantung kepada keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang merangkumi kira-kira 97 peratus daripada keseluruhan perusahaan di negara ini untuk bergerak seiring dengan transformasi berkenaan.

“ESG perlu dilihat sebagai instrumen strategik negara untuk memperkukuh daya saing PMKS, meningkatkan akses kepada pembiayaan dan pasaran, serta memastikan peralihan kepada ekonomi rendah karbon dilaksanakan secara adil dan inklusif”, katanya.

Fadillah berkata kerajaan juga akan terus memperkukuh pasaran karbon yang berintegriti serta mempercepat usaha penyahkarbonan ekonomi ke arah mencapai aspirasi karbon sifar bersih menjelang 2050.

Pada masa sama, beliau berkata kejayaan agenda kelestarian memerlukan pendekatan keseluruhan negara melalui kerjasama kerajaan, industri, institusi kewangan, universiti, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat, bagi memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada tindakan yang memberi impak kepada negara dan masyarakat.

Sidang kemuncak berkenaan dianjurkan Malaysian Association of Public Advocacy for Nature (MAPAN) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagi membincangkan pelaksanaan agenda ESG di Malaysia.

Ia memberi tumpuan kepada usaha mempercepat pelaksanaan ESG secara menyeluruh sejajar dengan aspirasi Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 serta Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Nasional (NSRF).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement