KUALA LUMPUR: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) memberi jaminan untuk mengurangkan kes jenayah rentas sempadan yang sering berlaku di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Komandernya Datuk Victor Sanjos berkata misi utama penubuhan ESSCom adalah memastikan tiada pencerobohan berlaku namun penjenayah rentas sempadan sering mengambil peluang melakukan jenayah di kawasan ESS Zone.

"Selain menjaga keselamatan, ESSCOM juga memberi jaminan untuk mengurangkan jenayah rentas sempadan...kalau penculikan atau pencerobohan mungkin boleh dihapuskan terus tetapi jenayah rentas sempadan ini agak sukar.

"Kita mahu aktiviti penduduk yang tinggal di persisiran pantai ini menjadi mata, telinga dan sahabat kita supaya mereka boleh bertindak sebagai pengawal dan memberi maklumat," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Turut hadir dalam rancangan itu Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali.

Beliau berkata apabila terdapat perayaan atau acara besar dalam negara atau di negara sempadan, permintaan barang bersubsidi sering menjadi 'barangan panas' untuk dibawa keluar ke negara jiran.

"Saya berharap kerajaan akan memperkenalkan penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) di kawasan laut terbuka. Saya percaya dengan kehadiran pesawat seperti itu, penjenayah yang melihat kehadiran pesawat itu pasti akan lari," katanya.

Sementara itu, Jamaluddin berkata sebanyak RM40 juta telah diluluskan Kerajaan MADANI pada Julai tahun lepas untuk menaik taraf kemudahan pasukan itu.

"Kita telah membuat perolehan iaitu sebanyak 40 unit perumahan di Lahad Datu untuk anggota ESSCOM. Sebahagian daripada peruntukan itu juga, kita telah membuat pembelian pejabat yang digunakan sekarang ini di Lahad Datu," katanya yang turut mengucapkan terima kasih atas keperihatinan kerajaan kepada ESSCOM.

-- BERNAMA