TAWAU:Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) pada Rabu menahan dua lelaki kerana memiliki 10,160 bungkus rokok seludup, yang disembunyikan dalam sebuah rumah tidak bernombor di sini.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota ESSCom dengan kerjasama polis Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Hidayat, Batu 4, kira-kira jam 2.30 pagi.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, anggota keselamatan menjumpai beberapa bungkus rokok yang disyaki tidak dibayar cukai kastam.

Rokok itu disembunyikan di dalam dua bilik di rumah itu secara berasingan.

"Anggota keselamatan telah menyerbu stor tingkat bawah dan menjumpai 8,630 bungkus rokok yang disyaki tidak dibayar cukai kastam.

"Manakala selebihnya 1,530 bungkus disembunyikan dalam sebuah bilik di tingkat 1, rumah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 


Foto ESSCom


Ahmad Fuad berkata, semua suspek yang berumur 50 hingga 55 tahun, termasuk seorang warga asing, bersama barang rampasan, dibawa ke Ibu Pejabat Pos Daerah Tawau untuk tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, tambahnya.

Sementara itu, Ahmad Fuad turut menyeru semua lapisan masyarakat khususnya komuniti pesisir pantai agar sentiasa menghulurkan kerjasama sebagai mata dan telinga pasukan keselamatan.

Mereka diminta melaporkan sebarang perlakuan jenayah yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam, serta kes-kes yang melanggar undang-undang negara.

Ia termasuk kes-kes penyeludupan, kes curi dan rompak serta kes-kes kemasukan pati di kawasan Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) ke Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863181.