IPOH: Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria disahkan positif COVID-19, berdasarkan ujian saringan yang dikeluarkan Bahagian Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Perak dikatakan mengalami beberapa simptom pada Rabu lalu dan mengambil langkah pemeriksaan kendiri.

Menurut Setiausaha Pas Perak, Fairuz Hafiiz Othman, daripada tiga pemeriksaan kendiri yang dijalankan itu, dua daripadanya positif.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau telah menjalankan kuarantin kendiri dan membuat swab test dengan Pusat Kesihatan Awam di Ipoh pada 3 Februari,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di dalam Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata, ekoran keputusan positif yang diperolehi hari ini, Razman akan menjalani kuarantin wajib sehingga 8 Februari.

Menurutnya, perkembangan selepas tarikh itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Ekoran dari perintah kuarantin wajib itu, katanya, semua program yang melibatkan exco berkenaan ditangguhkan dan pihak yang terlibat diminta menghubungi pejabat exco untuk penjadualan semula program.

“Beliau memohon maaf di atas kesulitan yang timbul susulan perkara berkaitan.

“Beliau juga menasihatkan mana-mana individu yang merupakan kontak rapat dalam tempoh mutakhir dan mengalami simptom untuk melakukan pemeriksaan kendiri COVID-19,” ujarnya.

Katanya, Razman juga memohon doa dari rakyat Perak agar diberi kesembuhan di samping berdoa agar seluruh rakyat terhindar dari sebarang musibah.