KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat bersama tiga individu lain terselamat selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer 127.7 Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1), pada petang Rabu.

Menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebooknya awal pagi Khamis, Hanafiah yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri memaklumkan mereka tidak mengalami kecederaan serius dalam insiden itu.

"Perjuangan tidak akan berhenti kecuali nyawa berpisah dari jasad. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kami.

"Alhamdulillah, tiada kecederaan yang serius. Insya-Allah, saya akan terus berkhidmat buat (untuk) rakyat," tulisnya.

Difahamkan, Hanafiah bersama pemandunya, Mohd Zubaidi Zahari, 33 serta dua rakan mereka menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Range Rover dalam perjalanan pulang ke Kemaman selepas menyelesaikan urusan kerja di Kuala Lumpur sebelum ditimpa kemalangan kira-kira jam 4.20 petang.

Menurut Mohd Zubaidi, ketika kejadian kenderaan dipandunya berada di lorong sebelah kanan sebelum sebuah lori membawa muatan buah-buahan tiba tiba memasuki lorong sama dari sebelah kiri.

"Lori terbabit tidak memberi sebarang isyarat dan menghimpit kenderaan yang saya pandu menyebabkan kenderaan kami hilang kawalan lalu terbalik.

"Saya dan dua penumpang lain hanya cedera ringan namun YB (Hanafiah) beritahu sakit pada bahagian belakang badan.

"Syukurlah kami semua selamat. YB (Hanafiah) kini sedang mendapat rawatan di Kuantan Medical Centre (KMC)," katanya ketika dihubungi di sini.

Insiden menimpa ADUN Chukai itu turut dikongsikan ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong menerusi hantaran di Facebooknya pada malam Rabu.

Beliau memaklumkan Exco Kerajaan Terengganu berada dalam keadaan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Allahuakbar. Dikhabarkan sahabat ambe (saya) YB Hj Hanafiah Mat atau lebih mesra YBC, Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional merangkap ADUN Chukai kemalangan petang tadi (Rabu), " tulisnya. - Sinar Harian