HAMPIR semua pengguna Facebook pernah melawat sekurang-kurangnya satu laman (Page) atau kumpulan (Group) tertentu sama ada untuk membeli atau menjual sesuatu.

Menurut anggaran Facebook, kira-kira 450 juta pengguna laman sosial terbesar dunia itu melawat laman atau kumpulan jual beli setiap bulan.

Hari ini Facebook mengumumkan ciri baharu, Marketplace, yang bakal memudahkan para pengguna untuk menjual dan membeli barangan tertentu berdasarkan lokasi mereka.

Ciri ini bakal diperkenalkan beberapa hari lagi di empat buah negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan New Zealand.

Apabila pengguna menekan ikon Marketplace pada aplikasi Facebook, senarai gambar barangan yang dijual oleh pengguna lain di lokasi berhampiran akan terpapar.

Marketplace dilengkapi dengan fungsi carian yang membenarkan pengguna memperinci hasil carian misalnya mengikut jenis barangan, lokasi dan harga.

Dengan 1.8 billion pengguna di seluruh dunia, perkembangan Marketplace pastinya bakal diikuti rapat oleh para pesaing seperti eBay dan Craigslist yang lebih awal menyediakan laman jual beli atas talian.

Menurut satu kenyataan rasmi, Facebook merancang untuk melancarkan ciri ini di lebih banyak negara pada masa akan datang.