Skip to main content

Politik

PRN Sarawak: GPS tidak berminat jalin sebarang kerjasama dengan PKR

Abdul Karim berkata, landskap politik Sarawak berbeza daripada peringkat Persekutuan, apabila kerjasama antara parti tidak semestinya diterjemahkan kepada pakatan pilihan raya di negeri itu. - Gambar fail
Abdul Karim berkata, landskap politik Sarawak berbeza daripada peringkat Persekutuan, apabila kerjasama antara parti tidak semestinya diterjemahkan kepada pakatan pilihan raya di negeri itu. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak berminat menjalinkan sebarang kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13).

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, landskap politik Sarawak berbeza daripada peringkat Persekutuan, apabila kerjasama antara parti tidak semestinya diterjemahkan kepada pakatan pilihan raya di negeri itu.

Beliau berkata, GPS mempunyai kekuatan tersendiri sebagai gabungan empat parti yang mengutamakan kepentingan Sarawak dalam setiap keputusan dan hala tuju pentadbiran negeri.

Advertisement

“GPS akan bergerak sendiri. Kita sudah menjadi gabungan empat parti yang merangkumi seluruh Sarawak. Apa yang kita utamakan ialah Sarawak First, Sarawak diutamakan.

“PKR ialah parti dari Semenanjung, parti nasional yang ibu pejabatnya di Kuala Lumpur. Jika kita mengharapkan PKR menang, kemudian setiap keputusan penting melibatkan Sarawak perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Kuala Lumpur, kita tidak mahu keadaan seperti itu,” katanya.

Advertisement

Abdul Karim memaklumkan, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini sudah menyatakan pendirian gabungan itu untuk bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada PRN13.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, perkara sama turut menjadi pertimbangan GPS terhadap DAP, memandangkan parti itu juga mempunyai ibu pejabat di Kuala Lumpur.

Katanya, GPS mahu keputusan berkaitan Sarawak dibuat oleh kepimpinan dan parti-parti yang beroperasi di negeri itu, demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat.

“Kenapa kita perlu melalui keadaan seperti itu, sedangkan kita mempunyai parti-parti yang terlibat secara langsung di Sarawak dan boleh membuat keputusan di sini untuk kebaikan serta kesejahteraan rakyat negeri ini?

“Atas sebab itulah saya berpendapat, sama ada PKR, PAS atau DAP, jangan fikirkan soal kerjasama dengan GPS,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement