KOTA KINABALU: Umat Islam di negara ini terutama rakyat Sabah diminta supaya memahami cabaran melaksanakan ibadah haji dalam situasi COVID-19 masih melanda seluruh dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata umat Islam perlu bersabar dan memahami bahawa situasi itu menyebabkan pengurangan kuota dan peningkatan kos mengerjakan haji, selain kekangan dihadapi kerajaan Arab Saudi yang terpaksa mengawal bilangan jemaah serta melaksanakan pelbagai prosedur bagi mengekang penularan wabak itu.

"Jadi memanglah setiap tahun sebelum ini lebih 30,000 kuota haji kita (Malaysia) terima tetapi dengan keadaan sekarang ini, bakal jemaah haji yang telah mendaftar mesti faham, kerana kawalan juga mesti diadakan di Tanah Suci. Kita harap Sabah memperoleh jumlah kuota jemaah haji yang baik tahun ini.

"Mendaftar itu ramai tetapi itu sahaja kuota diberikan jadi saya fikir kerajaan dengan TH dapatlah mengagih-agihkan kuota itu dengan wajar kepada negeri," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana masih memberi bantuan haji kepada jemaah haji dan kerajaan negeri menerusi pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan jemaah haji negeri ini dapat mengerjakan rukun Islam kelima itu dengan lancar.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad dilaporkan berkata seramai 14,306 jemaah haji dari Malaysia dibenarkan mengerjakan haji tahun ini iaitu 45 peratus daripada kuota biasa yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.

TH pada Jumaat mengumumkan dua kadar bayaran untuk menunaikan haji kepada jemaah muassasah iaitu sebanyak RM10,980 seorang bagi golongan B40, manakala RM12,980 seorang untuk bukan B40, susulan anggaran kos keseluruhan ibadah itu meningkat kepada RM25,540 seorang tahun ini.

Sementara itu, seorang pesara awam Muhd Shafiee Rapi, 61, berkata kenaikan kos haji sememangnya dijangka kerana cabaran COVID-19, namun apa yang lebih penting ialah kuota untuk mengerjakan haji masih ada.

"Apa gunanya kita mampu membayar kos penuh lebih RM20,000 tanpa subsidi kerajaan kalau kita bukan disenarai dalam kuota mengerjakan haji itu, maka sebenarnya kuota itu lebih penting daripada kos... apa pun kita kena reda kerana Allah sendiri yang memilih tetamu-Nya," katanya.

Bekas jurukamera sebuah stesen televisyen itu berkata jemaah haji Malaysia juga harus bersyukur kerana walaupun kos mengerjakan haji meningkat, kerajaan melalui TH masih menanggung sebahagian kos berbanding di kebanyakan negara lain.

Bekas guru Renawati Azelan, 66, berkata kenaikan kadar bayaran haji antara RM1,000 hingga RM3,000 itu dilihat masih rendah dan tidak begitu membebankan terutama kepada golongan B40 yang bakal mengerjakan haji tahun ini.

"Jika kita lihat ada pelbagai kenaikan cukai, caj visa dan pelbagai lagi, sehingga pada awalnya saya ingatkan jumlah kenaikan itu lebih tinggi. Bagaimanapun saya mohon berilah keutamaan golongan B40 ketika kos masih rendah sekarang, kita tidak tahu pada tahun akan datang kos itu macam mana," katanya.

-- BERNAMA