KOTA KINABALU: Konflik antara manusia dan buaya (HCC) memerlukan pemahaman yang mendalam agar situasi menang-menang dapat diwujudkan dalam kitaran alam semula jadi, walaupun wujud pandangan berbeza dalam mendepani situasi itu.

Ahli Zoologi Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Abdul Hamid Ahmad berkata pemahaman biasa atau umum mengganggap kehadiran buaya memberi kesan negatif terhadap kepentingan manusia.

Bagaimanapun katanya, pemahaman sains pengurusan hidupan liar pula melihat kesan HCC terhadap manusia dan buaya menyebabkan timbul pertikaian dalam perbincangan umum yang kadangkala membawa kepada kegagalan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap konflik yang wujud itu.

"Pada sudut lain, apabila dibincang secara ilmiah, pendapat umum yang beremosi pula yang mendominasi, ditambah lagi dengan pendapat yang menentang sebarang bentuk kawalan terhadap populasi buaya menimbulkan pendapat bertentangan antara manusia dengan manusia dalam isu HCC.

"Hal ini kelihatan sukar tetapi di sini pentingnya kita menginsafi bahawa kita ialah masyarakat yang hidup di dalam sebuah negara yang mewarisi buaya dalam alam semula jadi, justeru kita perlu memahami perkara ini sebaiknya," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman ketika beliau menjalankan kajian mengenai buaya di Sungai Paitan, Sandakan antara 2005 hingga 2007, didapati penduduk khususnya di Kampung Kebulu sentiasa berdepan dengan serangan buaya.

Abdul Hamid berkata hal ini kerana ketika itu, belum ada jeti dan hanya terdapat kayu balak sebagai kegunaan penduduk kampung untuk menjalankan rutin harian seperti mandi dan mencuci pakaian.

Berdasarkan laporan Jabatan Hidupan Liar, daerah Tuaran, Lahad Datu dan Kinabatangan mempunyai kekerapan yang tinggi berdepan dengan ancaman buaya daripada spesies crocodylus porosus atau buaya tembaga.

Sementara itu, seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lahad Datu Badrul Baba, 35, yang bertugas sejak 10 tahun lepas berkata bukan mudah untuk menangkap reptilia itu kerana selain ganas, ia juga berbahaya.

Beliau bersyukur sepanjang tempoh itu belum pernah mengalami sebarang kejadian yang tidak diingini dan setakat ini, Badrul pernah terlibat dalam operasi menangkap buaya seberat 1.2 tan dan 500 kilogram di daerah berkenaan.

"Operasi menangkap buaya yang berpotensi mencederakan manusia biasanya akan mengambil masa dan kami juga masih dalam proses untuk memahami habitatnya," katanya yang terlibat lebih 10 kali operasi menangkap reptilia berkenaan.

Pada 4 Dis 2020, Bernama melaporkan seorang remaja lelaki Azlan Arif Abdullah, 16, terselamat daripada dibaham buaya selepas enam rakannya "membelasah" haiwan terbabit dalam kejadian pukul 3.30 petang di Sungai Kampung Mengkabong, Tuaran.

Buaya berukuran kira-kira 1.52 meter panjang itu menyerang dan menggigit mangsa ketika bersama sekumpulan remaja dan kanak-kanak yang berumur antara sembilan hingga 16 tahun yang sedang mencari lokan dan siput di sungai berkenaan.

-- BERNAMA