KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil adalah antara 14 muka baharu dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat.

Beliau dilantik sebagai Menteri Komunikasi Digital.

Fahmi, 41, bukanlah orang asing dalam kalangan pengamal media kerana sering menjadi tempat rujukan bagi pengesahan mengenai sebarang isu berkaitan PH dan PKR.

Sebelum berkecimpung dalam arena politik, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia daripada Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat itu bergiat aktif dalam seni kreatif dan persembahan sebagai penulis dan pelakon teater.

Beliau juga pernah membintangi drama bersiri ‘Gol & Gincu’ pada 2006 dan menerima anugerah Artis Harapan pada Anugerah Seni Boh Cameron 2006. 

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memulakan karier politik dengan menyertai PKR pada 2010 dan pada awal pembabitannya, beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Nurul Izzah Anwar yang ketika itu merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR dari 2010 hingga 2013.

Muncul sebagai tokoh pemimpin muda berpotensi besar dalam PKR, Fahmi mengejutkan ramai pihak pada kemunculan pertamanya dalam pilihan raya apabila menewaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di kerusi Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bapa kepada dua anak itu mengekalkan rentak kemenangan dengan mempertahankan kemenangannya buat kali kedua di Parlimen Lembah Pantai dalam saingan empat penjuru pada PRU15, menewaskan pencabarnya Ramlan Shahean @ Askolani (Barisan Nasional), Fauzi Abu Bakar (Perikatan Nasional) dan Noor Asmah Mohd Razalli (PUTRA) dengan majoriti lebih besar iaitu 13,912 undi berbanding 5,598 undi yang diraih pada PRU14.

Sepanjang menjadi wakil rakyat, beliau pernah menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender pada Parlimen Penggal ke-14.

Beliau yang lantang memperjuangkan nasib golongan B40 selain aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan belia, dilantik sebagai Ketua Penerangan PKR pada Julai 2022 dan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan pada September 2021.

-- BERNAMA