KAMPAR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil meminta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) meneliti segala aspek penerbitan filem termasuk prestasi filem yang dihasilkan dengan inisiatif Dana Kandungan Digital (DKD).

Fahmi berkata beliau akan berbincang dengan Ahli Lembaga Pengarah Finas minggu depan mengenai perkara itu.

"Selepas itu, saya akan minta Lembaga Pengarah untuk teliti aspek-aspek termasuklah Dana Kandungan Digital, prestasi mutu persembahan bagi filem-filem yang dihasilkan melalui DKD," kata beliau kepada pemberita selepas meluangkan masa menziarahi Ng Kan Seng di rumahnya di sini bagi menyampaikan bantuan menerusi Tabung Kasih@Hawana kepada wartawan bebas itu yang kini uzur.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama D. Arul Rajoo, yang juga Pengarah Projek Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023.

Fahmi berkata demikian ketika ditanya mengenai kritikan terhadap kriteria pemilihan Finas dalam menyalurkan dana khususnya bagi penerbitan filem Vik2Ria Secret yang tular di media sosial kerana didakwa menerima DKD sebanyak RM550,000 namun sekadar meraih kutipan kira-kira RM5,000 dengan hanya 346 penonton.

Beliau berkata melalui perbincangan dengan Finas sebelum ini, dana disediakan untuk untuk proses pembikinan filem yang diterbitkan namun terdapat kelemahan apabila ia berdepan dengan masalah pemasaran.

"Kadangkala ada penerbit, saya tidak maksudkan Vik2Ria, yang hanya bergantung harap kepada tayangan wajib tetapi kalau tiada promosi, maka orang tidak akan tahu.

"Jadi, banyak daripada filem kita lihat yang berjaya promosinya banyak, tinggi dan luas. Jadi, di situ dana ada untuk pemasaran tetapi mungkin cara ia dimanfaatkan," katanya.

DKD, yang dahulu dikenali sebagai Dana Industri Kandungan Digital (DIKD), mula diperkenal pada April 2015 sebagai kesinambungan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang dilancar pada 2012.

Ia bertujuan merancakkan pembangunan industri kreatif tempatan supaya mampu bersaing dan lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA