KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan tahniah kepada Erwin Khairul Ahmad atas pelantikannya sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penerangan yang baharu.
Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, Fahmi turut mengucapkan tahniah kepada Wan Saidatul Shafina Mohd Amin yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) jabatan berkenaan.
"Semoga kedua-dua individu berkenaan dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen, kebijaksanaan serta semangat tinggi dalam memperkukuh peranan Jabatan Penerangan sebagai saluran penyampaian maklumat yang efektif kepada rakyat," katanya.
Dalam masa sama, Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada bekas Ketua Pengarah, Julina Johan, atas segala jasa, sumbangan dan dedikasi sepanjang menerajui jabatan itu.
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan bahawa watikah penempatan bagi Erwin Khairul dan Wan Saidatul Shafina telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Erwin Khairul merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Sebaran Am (Kepujian) (Penyiaran) dan Sarjana Sastera Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta telah memulakan perkhidmatan dalam sektor awam sebagai Pegawai Penerangan pada tahun 2001.
Beliau yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang pengurusan isu, gerak saraf dan komunikasi media siber telah menyandang pelbagai jawatan penting, antaranya sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu JAPEN; Timbalan Pengarah, Bahagian Media Siber JAPEN; Pengarah JAPEN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik, Kementerian Komunikasi dan Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital), JAPEN.
Selain itu, beliau juga merupakan Naib Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), sebuah badan peneraju yang berperanan dalam memartabatkan profesionalisme industri perhubungan awam di Malaysia.