KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mohd Zailani Md Atan atas pemergian wartawan kanan Astro AWANI di Pahang itu petang semalam.
Menerusi hantaran di Facebook semalam, Fahmi menyifatkan Mohd Zailani sebagai insan yang banyak berjasa dalam dunia kewartawanan tanah air serta mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut.
“Semoga seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan ini.
“Sama-sama kita mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran itu.
Terdahulu, Bernama melaporkan Mohd Zailani menghembuskan nafas terakhir ketika tidur pada usia 66 tahun kira-kira 5 petang semalam.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid Saidina Ali bin Abi Talib, Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang untuk dimandi dan disolatkan sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali kira-kira 9 malam tadi.
-- BERNAMA