Skip to main content

Ikuti langsung Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan 1447h di Menara Kuala Lumpur.

Malaysia

Faiq tidak benarkan maklumat penahanan di Jepun didedahkan - Wisma Putra

KUALA LUMPUR, 13 Feb -- Ibu mangsa Noor Zuhaini Ismail (kanan) bersama suaminya Mohd Jailani Ambak bercakap pada sidang media MHO mengenai rakyat Malaysia Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani yang ditahan di Balai Polis Toyamanishi, Jepun kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian telah didakwa di mahkamah negara itu pada Januari lepas dan mengaku bersalah atas dua pertuduhan.  -- fotoBERNAMA
Ibu Muhammad Faiq, Noor Zuhaini Ismail bersama suami, Mohd Jailani Ambak pada sidang media mengenai anak mereka yang ditahan di Jepun, baru-baru ini. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani yang kini ditahan di Balai Polis Toyama Minami, Jepun tidak memberi persetujuan kepada kerajaan negara itu untuk mendedahkan maklumat penahanannya. 

Menurut Wisma Putra, ketiadaan persetujuan berkenaan menyebabkan pihak berkuasa Jepun tidak dapat menyalurkan maklumat awal berhubung penahanan tersebut kepada perwakilan Malaysia di negara berkenaan. 

Advertisement

"Di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963, pemberitahuan kepada kedutaan bukanlah dibuat secara automatik, sebaliknya merupakan hak yang perlu dilaksanakan atas permintaan individu yang ditahan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa. 

Selain itu, Wisma Putra memberitahu, pihak berkuasa Jepun turut tertakluk kepada Akta Perlindungan Maklumat Peribadi Jepun yang mengklasifikasikan status penahanan sebagai maklumat peribadi dan tidak boleh didedahkan tanpa kebenaran jelas individu terbabit. 

"Sehubungan itu, pihak berkuasa Jepun adalah terhalang dari segi undang-undang untuk memaklumkan penahanan tersebut kepada Kedutaan Malaysia atau memberikan butiran lanjut mengenai siasatan," menurut kenyataan itu. 

Wisma Putra turut memaklumkan, selepas menerima pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Jepun, waris terdekat dimaklumkan dan komunikasi lanjut dengan keluarga akan diteruskan melalui saluran rasmi.  

Walau bagaimanapun, Wisma Putra menegaskan bahawa Kedutaan tidak boleh campur tangan dalam prosiding kehakiman sesebuah negara berdaulat atau menuntut pembebasan seseorang tahanan. 

"Wisma Putra kekal komited terhadap kebajikan rakyat Malaysia di luar negara dan mengingatkan semua rakyat Malaysia supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan negara tuan rumah ketika berada di luar negara," menurut kenyataan itu lagi. 

Baru-baru ini, ibu Muhammad Faiq, Noor Zuhaini Ismail bersama suami, Mohd Jailani Ambak, hadir pada satu sidang media mendedahkan keadaan anak mereka yang ditahan di Jepun.

Graduan politeknik berusia 24 tahun itu didakwa menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Jepun, dan kini berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan kes penipuan di mahkamah negara berkenaan. 

Faiq dilaporkan berlepas ke Jepun pada November lalu. Dia dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian beroperasi di negara itu yang kemudian membawa kepada penahanannya di Toyama. 

Dia didakwa pada Januari lalu mengikut Seksyen 246 Kanun Keseksaan Jepun berkaitan penipuan serta Seksyen 60 kanun sama bagi kesalahan dilakukan secara bersama.

Must Watch Video