KOTA TINGGI: Kegembiraan cuti sekolah bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di Pantai Tanjong Buloh, Sedili Kecil, pada Selasa.
Komander Operasir dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan I Muhammad Hashim Ismail berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 1.17 tengah hari.
Advertisement
Jelasnya, seramai 16 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Terdapat tiga mangsa iaitu Arman Hanif berusia 11 tahun, Mohamad Soleh Hazriq Mokhtar berusia 16 tahun dan Putra Aniq Fairuz Mohd Faizul berusia 11 tahun.
“Arman Hanif terselamat manakala Mohamad Soleh telah dijumpai dan diserahkan kepada ambulans untuk rawatan lanjut.
“Namun Putra Aniq Fairuz masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi semasa mencari mangsa tersebut dilakukan menggunakan teknik 'surface searching' di kawasan mangsa dilaporkan lemas.
Katanya, operasi masih berjalan sehingga kini. - Sinar Harian