Walaupun kenderaan secara amnya sekarang lebih senyap dari dahulu, perkara yang sama tidak dapat diperkatakan mengenai bunyi yang dihasilkan daripada tayar ketika berputar (tyre noise). Hingar ini terhasil apabila udara di dalam tayar bergetar dan menyampaikan bunyi tersebut sehingga ke dalam kabin.

Syarikat tayar Falken baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka telah berjaya menghasilkan produk yang lebih senyap yang dibangunkan bersama syarikat induknya, Sumitomo Rubber Industries. Paten untuk teknologi yang dinamakan ‘Silent Core’ ini berdasarkan lapisan busa inovatif ether-polyurethane yang terletak pada bahagian dalam tayar tersebut.

Mengikut perkiraan Falken, lapisan busa ini dapat mengurangkan bunyi tayar sehingga 10 desibel, dan mengurangkan bunyi di dalam kabin sehingga empat desibel.

Ujian yang dijalankan juga menunjukan prestasi tayar tidak terjejas. Selain itu, lapisan ether-polyurethane ini bertahan sepanjang jangka hayat tayar.

Proses pengeluaran dikatakan sudah cukup matang untuk pengeluaran besar-besaran. Buat masa ini produk dengan teknologi ‘Silent Core’ masih lagi sedang diuji oleh sebuah syarikat automotif terkemuka; dan terdapat pelbagai lagi syarikat yang berminat dengan produk tersebut.